Trio JJPTR akan dibebaskan selepas permohonan reman ditolak


Looi Sue-Chern

Pengasas JJPTR Johnson Lee dan dua pembantunya sudah ditahan reman selama enam hari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 21 Mei, 2017.

MAHKAMAH Majistret Bukit Mertajam menolak permohonan polis untuk menahan reman pengasas JJPTR Johnson Lee dan dua orang pembantunya di Pulau Pinang untuk membantu siasatan.

Peguam mereka, Jaya Prem Krishnan berkata permohonan reman ditolak majistret Dianne Ningrad Nor Azahar di mahkamah Bukit Mertajam tengahari tadi.

Dia berkata keputusan itu dibuat kerana ketiga-tiga orang itu sudah direman sejak enam hari lepas.

“Mereka sudah memberikan kerjasama penuh sejak awal penahanan.

”Kami harap polis akan mempertimbangkan kerjasama yang diberi dan tidak akan ada lagi tukar gari (penahanan semula),” katanya.

Turut hadi ialah peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor.

Ketiga-tiga mereka ditahan untuk membantu siasatan atas dakwaan penipuan melibatkan JJPTR.

Mereka dibawa ke kompleks mahkamah Bukit Mertajam pagi ini dan dibawa masuk ke kamar mahkamah sekitar jam 10.50 pagi.

Lee dan dua orang pembantunya dibawa ke Pulau Pinang dan ditahan semula semalam.

Sebelum itu mereka ditahan reman selama empat hari di Klang untuk membantu siasatan, berikutan penangkapan mereka pagi Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Timbalan Pesuruhjaya Abdul Ghani Ahmad berkata lima laporan dibuat ke atas syarikat itu di negeri itu sahaja.

Baru-baru ini Bukit Aman berkata yang terdapat 10 laporan dibuat ke atas JJPTR, dengan laporan terakhir di buat di Taiping, Jumaat lepas.

JJPTR yang dikatakan terlibat dalam perdagangan forex, berpangkalan di Pulau Pinang. Syarikat itu mempunyai paling ramai pelabur di negeri itu. – 21 Mei, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen