MENTERI Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan yang tidak hadir di Dewan Rakyat hari disahkan positif Covid-19, menjadi menteri terbaharu dijangkiti virus tersebut.
Menjelaskan ketidakhadirannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan beliau akan menjawab soalan bagi pihak Takiyuddin.
“Maaf Tuan Yang di-Pertua, saya mewakili menteri kerana menteri dijangkiti Covid-19. Saya dimaklumkan untuk ambil alih tugas menjawab soalan penting ini,” kata ahli Parlimen Santubong itu.
The Malaysian Insight telah menghubungi pegawai Takiyuddin untuk pengesahan.
Mengikut aturan Dewan Rakyat, Takiyuddin sepatutnya menjawab soalan Che Alias Hamid (PS-Kemaman) mengenai usaha yang diambil berhubung pemuliharaan harimau Malaya.
Dilaporkan pada 14 September Takiyuddin menjalani kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat kes positif.
Menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 termasuk Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Timbalan Menteri Pendidikan Mohamad Alamin. – 11 November, 2021.
Komen