Syarikat Australia tarik balik lebih 2 juta kit ujian Covid-19 di AS


Ellume menarik balik 2.2 juta ujian pantas Covid-19 sejak isu itu dikesan bulan lepas. – Gambar EPA, 11 November, 2021.

SYARIKAT pengeluar teknologi perubatan Australia menarik balik lebih 2 juta kit ujian Covid-19 di rumah yang dihantar ke Amerika Syarikat (AS) selepas mendapati peningkatan kemungkinan positif palsu.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) mengeluarkan amaran pada Rabu yang syarikat itu, Ellume, menarik balik 2.2 juta ujian sejak isu itu dikesan bulan lepas.

Keputusan ujian positif palsu menunjukkan seseorang mempunyai koronavirus sedangkan mereka tidak dijangkiti.

“FDA mengenal pasti ini sebagai penarikan balik Kelas I, jenis penarikan balik paling serius,” kata agensi itu dalam satu notis.

“Penggunaan ujian ini boleh menyebabkan akibat buruk kesihatan yang serius atau kematian.”

FDA berkata ia menerima 35 laporan positif palsu dan tiada kematian setakat ini.

Pada awal Oktober, Ellume mengumumkan penarikan balik secara sukarela 195,000 kit ujian selepas keputusan positif palsu dilaporkan dalam beberapa kumpulan produk pada kadar yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada masa itu, firma menghantar kira-kira 3.5 juta kit ujian ke AS.

Ellume berkata pada Khamis penarikan semula itu diperluaskan selepas lot tambahan didapati terjejas.

“Ellume menyiasat isu itu, mengenal pasti punca, melaksanakan kawalan tambahan, dan kami sudah pun mengeluarkan dan menghantar produk baharu ke AS,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kami telah dan akan terus bekerja dengan gigih untuk memastikan ketepatan ujian, dalam semua kes.”

Kit ujian koronavirus pantas di rumah Ellume tahun lalu menjadi yang pertama menerima kebenaran penggunaan kecemasan di AS.

Antaranya ialah kit ujian yang diberikan kepada Jabatan Pertahanan untuk diedarkan kepada program kesihatan komuniti. – AFP, 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen