KEMENTERIAN Kesihatan merekodkan 59 kes kematian berkait Covid-19 setakat tengah malam tadi, menurun daripada 78 kes yang direkodkan sehari sebelum itu.
Menurut data GitHub kementerian, semua kes kematian berkenaan adalah kes tertunggak dan tiada kematian berlaku semalam.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kepada 29,486.
Data itu turut menunjukkan 10 daripada 59 kes kematian adalah kematian luar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kategori ini kepada 5,961.
Angka kematian harian ialah jumlah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari itu ditambah kes yang baru disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan berpunca daripada Covid-19 selepas siasatan klinikal.
Sarawak dan Sabah merupakan penyumbang terbesar kes kematian semalam dengan gabungan 23 kes.
Sarawak mencatatkan 12 kematian manakala Sabah 11.
Baki kes kematian direkodkan di Perak (8), Kedah (5), Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu (masing-masing 4), Selangor dan Kuala Lumpur (masing-masing 3), Johor (2), Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing 1).
Tiada kes kematian berkait Covid-19 direkodkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.
Dalam tempoh dua minggu, Selangor telah melaporkan 59 kematian, iaitu peningkatan sebanyak 26%.
Purata untuk kematian akibat koronavirus adalah 17 bagi setiap sejuta penduduk dengan kadar kematian semasa negara pada 0.9%. – 11 November, 2021.

Komen