Pakatan Melaka buka pintu kepada parti lawan untuk sertai kerajaan


Noel Achariam Elill Easwaran

PAKATAN Harapan (PH) Melaka terbuka kepada idea parti lawan bergabung dalam membentuk kerajaan negeri baharu selepas pilihan raya pada 20 November, kata ketua PKR negeri Halim Bachik.

Bagaimanapun, di sebalik tawaran itu, beliau berkata beliau yakin PH mampu memperoleh majoriti besar, walaupun berdepan cabaran sengit daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di semua 28 kerusi.

Beliau juga berkata parti yang ingin menyertai PH mesti mematuhi cara ia mentadbir negeri.

“Kita boleh bekerjasama. Kita akan tunggu (keputusan pilihan raya), tetapi syaratnya mereka mesti ikut ketetapan PH dan dasar kita,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Saya yakin kita boleh menang pilihan raya, tetapi kita perlu bekerja keras,” kata Halim, yang tidak dicalonkan oleh partinya.

Semalam, semasa melancarkan manifesto BN, timbalan pengerusinya Mohamad Hasan juga berkata gabungan itu bersetuju dengan idea yang sama tetapi bertegas BN mesti menjadi teras dalam mana-mana pentadbiran negeri baharu.

Beliau berkata tanpa kestabilan, kedudukan kerajaan negeri terancam pada bila-bila masa.

“Selepas membentuk kerajaan, jika ada rakan yang ingin bersama, kami akan menerima mereka. Tidak ada isu, lebih banyak lagi meriah,” katanya pada majlis pelancaran itu.

BN mencalonkan penyandangnya Sulaiman Md Ali untuk mengekalkan jawatannya sebagai ketua menteri, manakala calon PH ialah Adly Zahari, yang juga ketua menteri dari 2018 hingga 2020.

Halim berkata,mereka tidak ada isu dengan Adly kerana ia adalah keputusan pimpinan PH.

“Bagi kami, keutamaan adalah memenangi pilihan raya dahulu. Kami akan memutuskan calon untuk jawatan ketua menteri seterusnya.

“Jadi, jika kita menang, maka pimpinan pusat PH akan umumkan calon itu.”

Seperti PH, BN juga menyatakan keyakinannya memenangi negeri itu, berdasarkan rekod prestasinya.

Pada Isnin, bekas perdana menteri Najib Razak berkata BN boleh menawarkan kerajaan negeri yang stabil dan berwibawa.

PN, PH dan BN bertanding di semua 28 kerusi, dengan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) bertanding satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), diketuai Ibrahim Ali, bertanding lima kerusi.

Sebanyak 11 kerusi akan menyaksikan tiga calon dalam kertas undi, sembilan kerusi akan menyaksikan empat calon bertanding, lima kerusi akan ditandingi lima calon, dan tiga kerusi akan ditandingi enam parti.

Sebanyak 22 calon bebas akan menyertai pilihan raya negeri, yang dijadualkan berlangsung pada 20 November ini.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Adun – Idris Haron (Sg Udang-BN), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Ind) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) – menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Idris dan Nor Azman, yang dahulunya Umno, kini masing-masing menyertai PKR dan Amanah, dan bertanding di bawah lambang PH. – 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen