9 kes positif Covid-19 di Sarawak perlukan bantuan pernafasan


Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan turut memaklumkan 12 kematian dilaporkan melibatkan individu berusia lingkungan 48 hingga 90 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2021.

HANYA sembilan daripada 480 kes positif Covid-19 yang direkodkan di Sarawak hari ini mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan baki 471 kes lagi adalah mereka yang tidak bergejala dan hanya bergejala ringan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 12 kematian dilaporkan melibatkan individu berusia lingkungan 48 hingga 90 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Dua daripada kematian itu dilaporkan berlaku pada 3 dan 13 Okt manakala 10 lagi ialah antara 4 November hingga semalam. 

JPBN turut memaklumkan dua kluster tamat iaitu Kluster Sibuluh-Nowang di Bau dan Kluster DTI Bekenu di Subis setelah 28 hari tidak merekodkan kes baharu menjadikan kluster yang aktif setakat ini ialah 18. – Bernama, 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen