ISU kartel dalam kalangan pegawai kanan polis tidak timbul, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Berdasarkan siasatan awal, isu kartel dalam kalangan anggota kanan polis tidak timbul.
“Bagaimanapun polis sudah merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk siasatan bebas dan telus,” kata kerajaan dalam jawapan bertulis kepada Parlimen semalam.
Kementerian itu menjawab dakwaan Gobind Singh (Puchong-PH) berhubung dakwaan bekas Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador bahawa terdapat “kartel polis jahat” dalam perkhidmatan itu.
Sebelum bersara pada Mac lalu, Hamid mendakwa sekumpulan pegawai bersubahat dengan penjenayah untuk menjatuhkannya.
Beliau juga mendakwa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin cuba campur tangan dalam kenaikan pangkat anggota polis.
Selepas persaraannya, penggantinya Acryl Sani Abdullah Sani berkata perkara itu akan dirujuk kepada EAIC. – 10 November, 2021.
Komen