SEBANYAK 98.8 peratus penjawat awam di Negeri Sembilan selesai menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat ini, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Beliau bagaimanapun berkata terdapat 36 orang daripada 6,618 penjawat awam masih enggan divaksin dan mereka digesa supaya segera menerima suntikan tersebut sebelum kerajaan negeri mengambil tindakan tatatertib.
“Terdapat 13 lagi dikesan tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan. Mereka diminta mendapatkan pengesahan daripada doktor sama ada benar-benar tidak boleh divaksin atau sebaliknya, kemudian kita akan menilainya semula.
“Bagaimanapun jika mereka masih enggan divaksin, kita akan menasihati mereka selain mengambil tindakan yang perlu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin berkata kerajaan negeri berharap golongan berkenaan segera mengambil suntikan itu demi memudahkan urusan masing-masing sekali gus memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Sementara itu, beliau berkata seramai 21,662 individu di negeri ini telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 setakat ini. – Bernama, 10 November, 2021.
Komen