SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) “melampau” dalam menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden Barisan Nasional itu berkata mereka telah meletakkan jentera pilihan raya gabungan itu dalam usaha mendekati pengundi.
Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata beliau kecewa dengan KKM dan SPR kerana mengenakan terlalu banyak sekatan terhadap kempen pilihan raya.
“SPR dan KKM perlu memikirkan semula. Mereka tidak boleh terlalu berlebih-lebih. Jentera kami di akar umbi kita terutamanya golongan wanita trauma kerana diambil nama ketika cuba menjalankan tugas sebagai ahli parti.
“Kita tidak boleh memasang bendera, memberi risalah. Saya faham tiada ceramah dibenarkan bagi mengekang penularan Covid-19 tetapi mengapa kita tidak boleh pergi berjumpa penduduk di pasar, walkabout atau melawat rumah ke rumah.
“Beri kami ruang parti politik. Benarkan dua orang adakan lawatan rumah ke rumah sudah memadai.
“Ini tempoh berkempen, biar kita buat kempen kita. Tetapkan SOP supaya ia boleh diikuti. Kita sudah buat di Slim River dan Chini,” katanya pada sidang media hari ini selepas melancarkan manifesto BN PRN Melaka.
Manifesto BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran, yang menggariskan lima teras dan 103 inisiatif.
Mohamad Hassan berjanji berjanji untuk menyediakan peruntukan kepada semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk Adun bukan kerajaan sebagai langkah memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memastikan kestabilan politik di negeri ini Mohamad berkata BN akan meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan pelantikan lima Adun tambahan mewakili belia dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Kematangan politik ini turut dimanifestasikan menerusi cadangan meminda Perlembagaan Negeri bagi tujuan melantik lima orang Adun tambahan termasuk dari kalangan belia dan NGO (badan bukan kerajaan) bagi membuka ruang serta perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata,” katanya. – 10 November, 2021.
Komen