Muhyiddin cadang selaras mekanisme bantuan Covid-19


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan agar diwujudkan mekanisme bagi melancarkan bantuan selain dasar keluar supaya penerima tidak perlu bergantung kepada bantuan untuk tempoh yang lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2021.


MUHYIDDIN Yassin mencadangkan agar satu mekanisme penyelarasan bantuan Covid-19 diwujudkan bagi memastikan penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan, lebih cekap, teratur dan sistematik.

Menurut bekas perdana menteri itu, langkah ini perlu memandangkan ramai pihak yang tampil memberikan bantuan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Rakyat Malaysia memang terkenal sifat pemurah, dan Covid-19 menyerlahkan sifat ini apabila ramai yang tampil hulurkan bantuan, selain pusat zakat, baitulmal, syarikat berkaitan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan turut tampil membantu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini. 

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pagoh itu mencadangkan sistem pengurusan bantuan bersifat end-to-end (hujung ke hujung) sebagai antara mekanisme yang boleh diketengahkan iaitu penerima boleh menerima bantuan secara terus ke dalam akaun masing-masing pada waktu memerlukan.

“Bantuan boleh terus masuk ke akaun penerima dengan kadar segera sekiranya berlaku bencana atau musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin atau miskin tegar,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin turut mencadangkan exit policy (dasar keluar) diwujudkan di bawah mekanisme berkenaan bagi membolehkan penerima dibantu dalam jangka masa tertentu sehingga mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan untuk tempoh lama.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memberi saranan supaya kerajaan memberi fokus menarik pelaburan asing baharu berteknologi tinggi dan hijau dalam usaha merancakkan ekonomi negara pasca-Covid-19.

“Untuk itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan kementerian lain yang berkaitan perlu mempergiatkan lagi misi pelaburan ke luar negara di samping meningkatkan kerjasama perdagangan serantau dan global,” katanya. – Bernama, 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen