KES harian koronavirus pada Selasa menjadi paras tertinggi sejak wabak itu bermula di Greece pada Februari tahun lalu, ketika hospital mula mengalami bebanan akibat peningkatan jangkitan.
Greece mencatatkan rekod 8,613 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, kata Pertubuhan Kesihatan Awam Kebangsaan, selepas kes meningkat lebih dua kali ganda dalam masa kurang dua minggu.
Sebanyak 46 meninggal dunia akibat penyakit itu pada Selasa, selepas 65 orang sehari sebelumnya.
Bahagian utara negara itu, yang kadar vaksinasi lebih rendah berbanding wilayah lain, paling teruk dilanda sejak kebelakangan ini.
Di bandar kedua Thessaloniki, pihak pengurusan di hospital utama yang memerangi Covid berkata ia dibanjiri dengan pesakit.
Nikos Kapravelos, ketua jabatan kecemasan di Hospital Papanikolaou, pada hujung minggu memberi amaran terhadap lonjakan baharu yang serupa dengan gelombang kedua pada November tahun lalu.
Pihak berkuasa kesihatan pada Jumaat mewajibkan pas Covid-19 untuk restoran dan kafe terbuka, serta ruang awam tertutup.
Pelitup muka masih diwajibkan di tempat tertutup dan di perhimpunan luar yang besar.
Pegawai kanan kementerian kesihatan Marios Themistokleous pada Isnin memberi amaran kes semakin meningkat di Greece, walaupun 61.2% daripada penduduk sudah menerima dua suntikan vaksinasi.
Beliau berkata janji temu dos pertama vaksin Covid-19 meningkat secara mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini, terutamanya disebabkan peningkatan kes. – AFP, 10 November 2021.
Komen