SUNGGUHPUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersekutu di peringkat persekutuan, namun pertembungan sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin menandakan bermulanya era politik baharu, kata penganalisis.
Membentuk persefahaman di persekutuan tetapi tidak di peringkat negeri bukanlah satu isu besar bagi kedua-dua gabungan itu, tambah mereka. Namun, apa sahaja kesepakatan yang dicapai selepas PRN Melaka tetap rapuh dan akan sentiasa ditekan dengan tuntutan serta risiko hilang sokongan.
BN dan PN akan bertembung di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 20 November ini selepas Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu.
Konflik antara Umno dan Bersatu bermula apabila parti pimpinan Ahmad Zahid Hamidi itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu sebagai perdana menteri.
Kerajaan PN kemudiannya diterajui oleh Umno, dan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin.
Bersatu setuju untuk memberi sokongan kepada Ismail Sabri tetapi dengan syarat beliau mesti memastikan anggota Kabinet bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata perebutan kuasa antara BN dan BN adalah kesan daripada pemerintahan blok dominan selama 60 tahun.
Bagaimanapun, dari sudut positifnya perebutan itu memastikan wujudnya semak dan imbang dalam kerajaan.
“Bekerjasama dan bermusuh sesama sendiri dalam pilihan raya tak menyalahi undang-undang, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan pun. Cuma menunjukkan kerajaan rapuh,” Ahmad Fauzi memberitahu The Malaysian Insight.
“Situasi sama pernah berlaku pada 80-an, iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pimpinan Leo Moggi walaupun tidak sehaluan dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tetapi membentuk persefahaman dalam kerajaan.
“Inilah juga yang berlaku pada Umno dan Bersatu sekarang. Berseteru tetapi boleh berada dalam satu kerajaan. Ismail Sabri mungkin nak bekerjasama dengan Bersatu tetapi Umno kata tak boleh, jadi beliau perlu akur kepada keputusan parti.
“Selama 60 tahun negara diperintah oleh satu gabungan yang dominan sehinggalah ditumbangkan Pakatan Harapan pada 2018.
“PRN Melaka adalah medan ujian bagi PRU15. Apa yang berlaku di Melaka akan jadi penanda aras bagi semua parti politik,” katanya.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali. Penamaan calon diadakan pada Isnin lalu, manakala pengundian awal ialah pada 16 November.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang kempen secara fizikal sepanjang tempoh PRN itu, namun membenarkan parti politik dan calon berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan.
Calon bagaimanapun perlu mendapat permit polis terlebih dahulu, kata SPR.
Prosedur operasi standard (SOP) itu katanya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, yang sebelum ini melarang semua bentuk perhimpunan berkaitan pilihan raya.
“Calon-calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) semasa berkempen dan sebarang bentuk kempen melalui media pada hari mengundi adalah tidak dibenarkan,” kata SPR dalam kenyataan pada Isnin.
Penamaan calon PRN Melaka pada Isnin lalu berlangsung dalam suasana norma baharu tanpa perarakan penyokong yang mengiringi calon.
Hanya pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon. – 11 November, 2021.
Berita penuh di sini
Komen