Pfizer mohon kebenaran kecemasan AS dos penggalak untuk dewasa


Kajian Pfizer pada akhir Oktober menunjukkan suntikan ketiga 95.6% berkesan terhadap gejala jangkitan Covid-19. – EPA, 10 November, 2021.

SYARIKAT Pfizer dan BioNTech mengumumkan pada Selasa yang ia secara rasmi menyerahkan permohonan meminta kebenaran kecemasan penggunaan vaksin penggalak Covid-19 untuk individu berumur 18 tahun ke atas.

Langkah itu berikutan penyelidikan yang diterbitkan oleh syarikat itu pada akhir Oktober menunjukkan suntikan ketiga adalah 95.6% berkesan terhadap gejala jangkitan, berdasarkan ujian klinikal yang dijalankan ke atas 10,000 orang.

Syarikat itu meminta Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS menambah segmen baharu populasi, meminda kebenaran penggunaan kecemasan yang diberikan pada September untuk dos ketiga bagi berumur 65 tahun ke atas, serta kumpulan berisiko tinggi mendapat Covid-19 yang teruk.

Cadangan awal Pfizer untuk kelulusan penggalak kepada semua berumur 16 tahun ke atas, yang disokong oleh pentadbiran Presiden Joe Biden, ditolak pada masa itu.

Beberapa negara meluluskan suntikan penggalak Covid-19 untuk meningkatkan imuniti kepada individu yang telah diberi vaksin, tetapi perlindungan mereka mungkin menurun selepas beberapa bulan, menurut beberapa kajian.

Agensi Ubatan Eropah (EMA) meluluskan penggalak kepada yang berusia lebih 18 tahun pada awal Oktober, membenarkan pengawal selia negara menentukan kumpulan mana yang layak terlebih dahulu. – AFP, 10 November 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen