KETUA saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Selasa beliau tidak sabar menanti kemunculan “generasi kedua” vaksin Covid-19, yang mungkin termasuk versi oral dan semburan di hidung.
Soumya Swaminathan berkata vaksin sebegitu boleh mempunyai kelebihan berbanding suntikan kerana ia lebih mudah dan boleh diambil sendiri.
Swaminathan berkata terdapat 129 vaksin calon berbeza yang sudah sampai ke tahap ujian klinikal – sedang diuji ke atas manusia – manakala 194 lagi masih di peringkat makmal.
“Ini merangkumi keseluruhan rangkaian teknologi,” katanya kepada interaksi langsung di saluran media sosial WHO.
“Ia masih dibangunkan. Saya pasti sebahagian daripadanya akan terbukti sangat selamat dan berkesan dan yang lain mungkin tidak.
“Mungkin terdapat kelebihan kepada beberapa vaksin generasi kedua… jelas sekali jika anda mempunyai vaksin yang boleh diambil melalui oral atau hidung ini lebih mudah diberikan berbanding suntikan.
“Akhirnya kita akan dapat memilih yang paling sesuai.
“Jika bukan kerana Covid, kami akan menggunakan platform ini untuk jangkitan lain pada masa hadapan.”
Swaminathan menjelaskan kelebihan vaksin yang disembur ke dalam hidung, seperti di beberapa negara dengan vaksin influenza.
“Sekiranya terdapat tindak balas imun setempat maka ia akan melawan virus itu sebelum ia pergi dan masuk ke dalam paru-paru dan mula menyebabkan masalah,” katanya.
WHO hanya memberikan kebenaran penggunaan kecemasan kepada tujuh vaksin Covid-19: yang dibangunkan oleh Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Johnson & Johnson, Sinopharm, Sinovac dan minggu lalu Bharat Biotech.
“Tiada satu pun daripada vaksin itu 100%. Tiada siapa pernah mendakwa vaksin itu akan memberi perlindungan 100%. Tetapi 90% adalah kadar perlindungan yang hebat berbanding sifar,” kata Swaminathan.
“Sehingga kini, dengan vaksin yang telah kami luluskan, tiada sebarang isyarat yang sangat membimbangkan sehingga kami perlu mengatakan, kami perlu mempertimbangkan semula vaksin ini.”
Lebih 7.25 bilion dos vaksin diberikan di seluruh dunia, menurut kiraan AFP. – AFP, 10 November 2021.
Komen