KEHADIRAN Mas Ermieyati Samsudin sebagai pencabar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara selaku calon Perikatan Nasional (PN), mampu menjadi ‘pencetus perubahan’ kepada senario politik Melaka dan negara, kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin.
“Ia akan menjadi satu pencetus perubahan kalau beliau menang (Pilihan Raya Negeri Melaka).
“(Ini) membuktikan bahawa rakyat semua telah memahami yang penting kepada kita adalah calon itu bukan hanya muda, tetapi mampu untuk membantu rakyat,” katanya kepada media hari ini.
Katanya, kerja keras Mas Ermieyati sebagai ahli Parlimen selama dua penggal dan lantikannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sudah membuktikan kredibiliti beliau untuk menjadi pemimpin.
“Inilah harapannya untuk rakyat menunjukkan bahawa mereka bersedia mencari pemimpin yang penuh dengan intergriti, mampu menjadi pemimpin mereka di masa hadapan. Kita tidak mahu cerita yang bukan bukan. Jadi saya yakin beliau dapat memberikan kemenangan kepada PN,” katanya.
Malah menurut Hamzah beberapa isu yang ditimbulkan juga memberi ruang kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, untuk diambil kira sebagai calon yang lebih baik daripada yang lain-lainnya.
Mas Ermieyati yang juga ahli parlimen wanita pertama di Melaka, bakal menghadapi cabaran daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Ab Rauf (BN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Sementara itu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berharap jentera partinya tidak melanggar sebarang prosedur operasi standard (SOP), yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Walaupun berhadapan dengan kaedah dan SOP baharu, beliau menganggap ia adalah cabaran yang sama rata kepada semua parti dan calon yang bertanding.
“Jadi saya tidak boleh merungut hanya bagi pihak saya sendiri sahaja atau atas parti saya semata-mata, yang saya mahu adalah jentera parti saya tidak melanggar SOP.
Cuma katanya, pihaknya mahu melihat SPR mencari satu kaedah memberi ruang supaya rakyat benar-benar dapat memilih siapa sebenarnya hendak dipilih, dan meminta agar calon diberikan sedikit ruang untuk melakukan pengenalan diri atau berkempen, supaya rakyat dapat membandingkan calon-calon yang bertanding. – Bernama, 9 November, 2021.
Komen