Putrajaya mesti tunai janji MA63 atau berdepan kemarahan rakyat Borneo, kata Azis Jamman


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Sepanggar Mohd Azis Jamman berkata Putrajaya lebih teruk daripada penjajah British. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2021.

JIKA Singapura boleh meninggalkan Malaysia, begitu juga Sabah dan Sarawak, kata Azis Jamman.

“Jangan salahkan kami jika gerakan keluar Malaysia semakin kuat,” kata ahli Parlimen Sepanggar itu semasa Perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

“Walaupun kita memulakan kemerdekaan melalui PBB, kita juga boleh menamatkan perjuangan kita melalui PBB,” kata pemimpin Warisan itu.

Katanya Putrajaya lebih teruk daripada penjajah British.

“Dahulu penjajah hanya mengambil sumber kita tetapi Putrajaya juga membawa anak muda kita menghantar mereka ke negeri berbeza untuk bekerja sebagai guru, pengawal keselamatan dan pekerja kilang,” katanya. 

Dalam perkembangan lain Azis berkata Putrajaya terus menyeleweng dana pembangunan walaupun mengakui Sabah dan Sarawak berada di belakang rakan sejawatan mereka di Semenanjung Malaysia.

“Dari 2019 hingga 2020, bahagian dana pembangunan Sabah sama ada merosot atau kekal tidak berubah. Walaupun Sabah diperuntukkan purata RM5 bilion dari 2019 hingga 2022, hampir 40% digunakan.

“Ambil tahun lepas sebagai contoh. Sabah diperuntukkan RM216 juta untuk tenaga elektrik tetapi hanya RM91 juta dibelanjakan. Bagi jalan raya dan jambatan, hanya RM127 juta daripada peruntukan RM494 juta digunakan.

“Untuk air, hanya RM6.7 juta dibelanjakan walaupun peruntukan RM350 juta,” katanya.

Beliau berkata walaupun pengumuman bajet memberi amaran Sabah dan Sarawak diperuntukkan banyak wang, kebanyakannya tidak digunakan.

“Apa jadi dengan bajet yang tidak digunakan ini? Sudah tiba masanya Putrajaya membiarkan kerajaan negeri menguruskan dana sendiri,” kata bekas timbalan menteri dalam negeri itu. 

Azis turut mahu Kementerian Kewangan bertanggungjawab kerana mengatakan lebih 20% bajet pembangunan untuk 2022 diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak.

“Sabah diperuntukkan RM5.2 bilion manakala Sarawak RM4.6 bilion. Bagaimana pula dengan 20% daripada bajet pembangunan RM75 bilion?,” kata ahli Parlimen berenaan.

Azis merupakan ahli Parlimen Sabah kedua yang membangkitkan isu pemisahan Sabah semasa perbahasan bajet tahun ini.

Semalam, Presiden STAR dan Timbalan Ketua Menteri 2 Sabah Jeffrey Kitingan memberitahu Parlimen kira-kira 60% rakyat Malaysia Timur mahu Sabah dan Sarawak meninggalkan Malaysia. – 9 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen