Ribuan tunjuk perasaan bantah sekatan Covid-19 di New Zealand


Ribuan penunjuk perasaan berarak ke Parlimen New Zealand hari ini sambil memegang sepanduk bagi membantah sekatan Covid-19. – Gambar AFP, 9 November, 2021.

RIBUAN penunjuk perasaan berarak ke Parlimen New Zealand hari ini bagi membantah sekatan Covid-19, mendorong polis mengadakan sekatan besar-besaran di bangunan Wellington yang dikenali sebagai Beehive.

Kira-kira 3,000 orang yang kebanyakannya tidak memakai topeng pelitup muka melalui pusat bandar  ibu negara termasuk berpuluh-puluh penunggang motosikal.

Sebahagian daripada mereka membawa bendera “Trump 2020” manakala yang lain membawa sepanduk yang membawa mesej daripada kumpulan Maori.

Mereka yang terjejas akibat sekatan pergerakan dan guru yang hilang pekerjaan jika menolak vaksinasi antara yang terlibat dalam tunjuk perasaan berkenaan.

Yang lain menyasarkan Perdana Menteri Jacinda Ardern dengan slogan seperti “Pro Choice, Anti Jacinda”, “Media Lies” dan “Media Treason”.

Protes itu berlangsung secara aman dengan penunjuk perasaan bersurai selepas melakukan hakka beramai-ramai di pekarangan Parlimen. Hakka Maori tradisional digunakan dalam pelbagai cara untuk menakut-nakutkan saingan, untuk meraikan dan juga untuk berkabung.

Polis berkata tidak ada sebarang tangkapan dibuat di Wellington walaupun mereka menyatakan kekecewaan terhadap begitu ramai peserta yang melanggar sekatan koronavirus.

Ardern berkata kebanyakan rakyat New Zealand menyokong tindakan dilakukan kerajaan bagi memerangi wabak virus berkenaan dengan memetik angka menunjukkan hampir 90% penduduk menerima dos vaksin pertama mereka.

“Apa yang kita lihat hari ini tidak mewakili sebahagian besar penduduk New Zealand,” katanya kepada pemberita.

Kerajaan Ardern menguatkuasakan sekatan pergerakan dan sekatan sempadan ketat yang menyaksikan New Zealand hanya merekodkan 31 kematian akibat virus berkenaan dalam populasi lima juta penduduk.

Penduduk bandar terbesar di negara itu, Auckland diarahkan untuk tinggal di rumah sejak pertengahan Ogos dan Ardern minggu ini mengumumkan sekatan itu akan terus kekal sehingga akhir November.

Beliau berjanji untuk melonggarkan lebih banyak sekatan termasuk menamatkan penutupan sempadan apabila 90% penduduk menerima vaksin sepenuhnya.

Bagaimanapun mereka yang masih tidak diberi vaksin masih akan berdepan sekatan terhadap pilihan pekerjaan, perjalanan dan hiburan mereka. – AFP, 9 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen