Hampir 80% pesakit long Covid-19 alami kelesuan


Chan Kok Leong

Kementerian Kesihatan berkata 79.4% pesakit dikaitkan dengan long Covid mengadu lesu manakala 54.1% mendakwa mereka alami kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2021.

SIMPTOM paling kerap dikaitkan dengan long Covid-19 adalah lesu diikuti kesukaran bernafas dan batuk, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

“79.4 peratus daripada 17,308 pesakit Covid-19 yang pulih mengadu lesu manakala 54.1 peratus berkata mereka mengalami kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti tertentu,” kata KKM dalam jawapan bertulis kepada Parlimen semalam.

KKM mendapati 17.9 peratus pesakit mengadu batuk manakala 14.5 peratus susah tidur selain 10.2 peratus mengalami keresahan.

Kementerian menjawab soalan Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai jumlah pesakit long Covid-19 dan simptom mereka.

Sementara itu, KKM berkata setakat 26 Oktober, 67 peratus atau 18,121 daripada 28,576 kematian Covid-19 melibatkan mereka yang tidak divaksin.

“19 peratus atau 5,290 daripada kematian adalah daripada mereka yang hanya menerima satu dos vaksin manakala hanya 3 peratus atau 785 daripada kematian adalah mereka yang telah menerima dua dos vaksin,” kata KKM.

“12 peratus atau 3,028 daripada kematian adalah daripada mereka yang lengkap divaksin sepenuhnya,” tambahnya.

KKM berkata kadar kematian Covid-19 dalam kalangan mereka yang divaksin sepenuhnya di Malaysia hanya 0.016 peratus atau 160 bagi setiap satu juta rakyat Malaysia. – 9 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen