PESAKIT Covid-19 yang tidak divaksin atas pilihan sendiri di Singapura perlu menanggung kos perubatan mereka sendiri sekiranya dimasukkan ke hospital atau pusat rawatan Covid-19 mulai bulan depan, umum Kementerian Kesihatan republik itu semalam.
Peraturan itu berkuat kuasa mulai 8 Disember, dikenakan ke atas mereka yang layak untuk menerima vaksin tetapi enggan disuntik pelali Covid-19, lapor media di Singapura.
Kos rawatan mereka pada masa ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk bagi penduduk tetap dan pemegang pas lawatan jangka panjang, kecuali mereka yang didapati positif sebaik pulang dari luar negara.
“Pada masa ini mereka yang tidak divaksin merupakan majoriti yang memerlukan rawatan rapi dan secara tidak langsung menyebabkan tekanan kepada sumber rawatan kesihatan,” kata Kementerian Kesihatan Singapura, seperti dipetik Channel News Asia.
Kerajaan bagaimanapun akan terus menanggung kos rawatan untuk mereka yang tidak layak untuk vaksinasi, termasuk kanak-kanak bawah 12 tahun atau kerana masalah kesihatan.
Mulai 1 Januari 2022, hanya warganegara Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas lawatan jangka panjang yang sudah lengkap divaksin dan tidak ke negara lain akan ditanggung kos rawatan Covid-19 sepenuhnya oleh kerajaan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Singapuran Ong Ye Kung dipetik berkata kerajaan perlu menghantar mesej menggesa semua orang mengambil vaksin sekiranya layak. – 9 November, 2021.
Komen