Denmark wajibkan semula pas kesihatan Covid-19


Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen pada sidang media semalam berkata pas kesihatan akan diwajibkan semula selepas disarankan oleh Suruhanjaya Epidemik negara itu. – Gambar EPA, 9 November, 2021.

DENMARK akan mewajbkan semula penggunaan pas kesihatan susulan kes Covid-19 naik mendadak di negara itu, umum Perdana Menteri Mette Frederiksen semalam.

Pengumuman itu tidak sampai dua bulan kerajaan Denmark memansuhkan semua sekatan Covid-19 pada September.

Frederiksen berkata pas kesihatan akan diwajibkan di bar, restoran dan kelab malam, serta ke atas individu berusia 15 tahun ke atas.

Frederiksen berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Suruhanjaya Epidemik bahawa Covid-19 adalah penyakit yang mengancam nyawa masyarakat dan menyarankan supaya mewajibkan semula kad kesihatan.

“Kerajaan akan ikut saranan ini,” katanya pada sidang media semalam.

Tambahnya, langkah itu perlu meskipun maklum ia akan menyukarkan aktiviti harian penduduk yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Setakat ini, 85.9% daripada 5.8 juta penduduk Denmark berusia 12 tahun ke atas sudah lengkap vaksinasi.

Minggu lalu, pihak berkuasa kesihatan negara itu memberi amaran lonjakan jumlah pesakit Covid-19 dan penyakit berjangkit lain di hospital.

Semalam, sebanyak 2,000 kes baharu dilaporkan di Denmark untuk hari kelima berturu-turut.

Sehingga kini seramai 2,745 orang meninggal dunia akibat C0vid-19 di Denmark. – AFP, 9 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen