Pilihan raya Melaka uji kepimpinan Anwar hadapi PRU15 


Raevathi Supramaniam

Prestasi PH di Melaka akan mencerminkan prestasi Anwar Ibrahim pada PRU15, kata pemerhati politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2021.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi penentu Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan juga menguji kepimpinan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sama ada beliau mampu menerajui gabungan itu ke arah kejayaan, kata pemerhati politik dan ahli Parlimen.

Mereka berkata jika PH, yang diterajui Anwar sekali lagi memenangi negeri itu seperti yang berlaku pada PRU14 di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, ia akan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin yang tidak dipertikaikan dan mengukuhkan gabungan itu untuk menghadapi PRU15.

Bagaimanapun ada pihak yang berkata suara-suara sumbang dalam PH yang tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Anwar menunjukkan mungkin terdapat keretakan dalam pembangkang.

PRN Melaka yang berlangsung di tengah penularan wabak Covid-19 juga akan mencabar bagaimana Anwar, sebagai pemimpin, akan mengetuai kempen kerana kaedah konvensional bukan lagi kebiasaan.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata jika PH memenangi kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri di Melaka, ia akan menjadi batu loncatan kepada Anwar sebagai ketua gabungan itu.

“Prestasi PH di Melaka akan mencerminkan prestasinya pada PRU15. Jika keputusannya lebih teruk daripada PRU14, ia menunjukkan pengaruh Anwar mungkin semakin hilang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jika PH boleh menang, maka sokongan kepada Anwar akan menjadi lebih baik dan beliau kemudian boleh menumpukan pada persediaan menghadapi PRU15.”

Mazlan berkata jika Anwar gagal mendapatkan negeri itu untuk PH, beliau juga akan menghadapi risiko dibandingkan dengan Dr Mahathir, yang membuat kemunculan semula pada PRU14 selepas bergabung dengan pembangkang.

Rakyat Melaka akan keluar mengundi pada 20 November, dengan kempen kini dijalankan dengan prosedur operasi standard Covid-19 yang ketat.

Ini adalah kali pertama pilihan raya diadakan selepas lapan bulan keadaan darurat di seluruh negara untuk memerangi wabak Covid-19.

Pada PRU14, PH memenangi 15 kerusi di Melaka manakala Barisan Nasional memenangi 13 kerusi.

Kerajaan negeri PH bagaimanapun tumbang selepas Adun DAP Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee dan Adun PKR Rembia Muhammad Jailani Khamis bertindak keluar parti.

Norhizam juga merupakan salah seorang Adun yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka tumbang selepas menarik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali. 

Tiga lagi Adun terlibat adalah bekas ketua menteri Idris Harun, Noor Effandi Ahmad dan Nor Azman Hassan.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun turut senada dengan Mazlan bahawa Melaka akan menjadi medan untuk menguji kepimpinan Anwar. 

“Melaka adalah ujian sama ada beliau mampu melakukan dengan baik. Persoalannya adalah sama ada PH boleh membentuk kerajaan negeri atau tidak dengan Anwar memimpin.

“Adalah satu cabarab besar untuk Anwar, untuk beliau mengukuhkan kepimpinannya sebagai pemimpin pembangkang yang tidak dipertikaikan. Jika beliau boleh memenangi Melaka untuk PH, maka beliau akan buktikan bahawa beliau adalah kuasa yang perlu diperhitungkan menjelang PRU15 nanti,” kata Oh. – 9 November, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen