Mahkamah Singapura terburu-buru dalam rayuan Nagaenthran, kata peguam 


Nagaenthran K. Dharmalingam berdepan hukuman mati kerana membawa 42.72g heroin ke Singapura pada 2009.– Gambar fail, 8 November, 2021.

MAHKAMAH Rayuan Singapura menetapkan pendengaran rayuan Nagaenthran K. Dharmalingam pada pukul 2.30 petang esok dan membuat penilaian psikiatri berhubung keadaan mentalnya pada masa dan tarikh yang sama, berikutan keputusan mahkamah tinggi untuk menangguhkan hukuman mati. 

Penasihat Lawyers for Liberty N.Surendran berkata perintah mahkamah dibuat lewat petang hari ini, sambil menambah bahawa jika kedua-dua perkara itu ditolak, penangguhan pelaksanaan hukuman tidak lagi sah dan hukuman ke atas Nagaenthran boleh dilaksanakan pada hari Rabu.

“Tiada peguam boleh dijangka secara munasabah untuk memfailkan penghujahan bertulis dan menyediakan serta memfailkan afidavit semalaman. Ia adalah arahan yang jelas tidak masuk akal daripada mahkamah dengan apa yang kelihatan seperti niat yang telah ditetapkan untuk menolak kedua-dua perbicaraan esok,” katanya dalam satu kenyataan.

Surendran berkata perintah “tidak munasabah” ini supaya kedua-dua perbicaraan didengar dalam masa kurang daripada 24 jam adalah penafian terang-terangan proses wajar kepada Nagaentran dan bertentangan dengan Perkara 9 Perlembagaan Singapura.

“Apa perlunya tergesa-gesa? Adakah ia bagi membolehkan Nagaentran dihukum bunuh pada hari Rabu, bertentangan dengan pendapat bertamadun?”

Beliau menggesa mahkamah memberi masa yang mencukupi kepada peguam untuk menyediakan kes mereka, yang melibatkan isu rumit dan kehidupan seorang lelaki cacat mental.

Beliau berkata penangguhan pelaksanaan juga mesti dikekalkan sehingga perbicaraan diselesaikan dengan betul dan adil, sambil menambah bahawa kegagalan berbuat demikian akan merosakkan reputasi badan kehakiman dan kerajaan Singapura.

Perkembangan ini hanya beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia Nagaentran, yang dijadualkan pada Rabu.

Peguamnya telah memohon perintah larangan dalam percubaan terakhir untuk menyelamatkannya dari hukuman gantung.

Pada 2019, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan Nagaenthran terhadap hukuman matinya kerana membawa 42.72g heroin ke negara itu.

Beliau ditangkap pada April 2009 ketika memasuki republik itu dari Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan seikat heroin diikat pada pahanya.

Menurut Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah, Putrajaya telah memohon budi bicara lembaga pengampunan Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

Difahamkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga telah mengutuskan surat kepada rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong bagi meringankan hukuman kes Nagaenthran.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis antihukuman mati, baik di dalam negeri mahupun di Singapura, telah menggesa supaya hukuman mati itu dibatalkan, memetik pelanggaran undang-undang antarabangsa dengan melaksanakan hukuman mati terhadap orang yang kurang upaya mental.

Nagaenthran telah didiagnosis kecacatan intelek dengan IQ 69, iaitu IQ yang lebih rendah daripada purata kebiasaan. – 8 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen