PENGEMBARA Malaysia dan Singapura menerusi laluan udara tidak perlu menjalani kuarantin bermula 29 November jika sudah divaksin sepenuhnya, kata perdana menteri kedua-dua negara hari ini.
Mereka hanya perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di bawah laluan perjalanan vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menurut kenyataan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong.
“Di bawah VTL, pengembara yang sudah divaksin sepenuhnya akan dapat melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, tertakluk kepada ujian saringan Covid-19 sebagai ganti kepada menjalani kuarantin atau notis duduk di rumah,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin berkata mereka membincangkan perkara berkenaan menerusi telefon awal hari ini dan faham keperluan untuk mengembalikan perjalanan antara dua negara yang terganggu akibat pandemik Covid-19, dan bagi membolehkan keluarga yang terpisah bersatu semula.
Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan proses imunisasi yang meluas di kedua-dua negara dan kerjasama yang terjalin selama ini antara dua negara.
Ismail Sabri berkata VTL itu adalah perkara penting dalam hubungan Singapura-Malaysia.
“VTL akan membolehkan perjalanan dibuat kerana kedua-dua negara akan membuka semula sempadan secara berperingkat dan bertanggungjawab bagi mengimbangkan keperluan pemulihan ekonomi dan memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat kita daripada Covid-19.
“Saya mengalu-alukan pelaksanaan berkesan menerusi kaedah perjalanan ini, menambah baik kepada mereka yang sebelum ini menolong memudahkan pergerakan individu dan barangan antara Malaysia dan Singapura,” katanya.
Lee juga berkata beliau gembira perjalanan antara dua negara dapat dilakukan semula kerana ia akan menjana ekonomi kedua-dua negara.
“Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang akrab. Saya gembira kedua-dua negara kini akhirnya dapat memulakan semula perjalanan rentas sempadan menerusi VTL.
“Ini akan membantu menghidupkan semula ekonomi kita, mengembalikan hubungan keluarga dan mengukuhkan kerjasama dua hala kita.”
Kedua-dua negara kini bekerjasama ke arah membuka semula rangkaian jalan darat antara dua negara di Johor.
Dianggarkan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang tinggal di Johor berulang-alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja. – 8 November, 2021.
Komen