BARISAN Nasional (BN) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih jelas mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi tempoh berkempen semasa pilihan raya Melaka.
Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh berkata, SOP mesti jelas supaya mereka tidak melanggar undang-undang semasa berkempen.
“Kami berharap SPR dan agensi lain yang terlibat akan menyediakan SOP lebih jelas memandangkan Melaka sudah berada di Fasa 4 (Pelan Pemulihan Negara).
“Jadi, pihak berkuasa mesti memberi peluang kepada parti untuk berkempen,” katanya di Villa D Acqua di Melaka hari ini.
Rauf akan bertanding dalam pertandingan tiga penjuru untuk kerusi DUN Tanjung Bidara.
Awal hari ini, SPR berkata satu-satunya bentuk kempen fizikal yang dibenarkan dalam pilihan raya Melaka ialah penggunaan pembesar suara dari kenderaan pada masa ditetapkan dan dengan permit polis.
Ini adalah di bawah SOP bagi mengekang penularan wabak Covid-19 semasa berkempen bagi pilihan raya negeri, yang bermula hari ini dengan proses penamaan calon. Hari pengundian akan diadakan pada 20 November.
SPR berkata SOP diluluskan Kementerian Kesihatan semalam melarang sebarang bentuk perhimpunan fizikal awam.
Ini bermakna tidak boleh ada ceramah, tiada kunjungan dari rumah ke rumah oleh calon atau penyokong untuk meraih undi dan tiada aktiviti beramah mesra.
Rauf berkata SPR dan Majlis Keselamatan Negara mesti memberi arahan yang betul mengenai segala larangan berkempen.
“Jika pasar raya dibuka dan orang ramai boleh duduk di kedai kopi dari pagi hingga petang, jadi mengapa kempen tidak dibenarkan. Jika kita duduk di kedai kopi dan berbual dengan orang lain bagaimana?
“Jadi, mereka perlu membuat SOP yang rasional. Sekurang-kurangnya membenarkan mereka yang diberi vaksin mendengar ceramah.”
Mengenai persaingan sengit antara parti semasa pilihan raya, Rauf berkata mungkin terdapat persaingan sengit antara parti yang bertanding dalam pilihan raya negeri Melaka.
Katanya, rakyat dapat merasai perbezaan Pakatan Harapan atau BN mentadbir negeri.
“Ini bukan persaingan siapa yang popular tetapi persaingan antara dua parti yang berbeza ideologi.”
Beliau menambah BN akan melancarkan manifesto mereka untuk pilihan raya pada 10 November ini. – 8 November, 2021.
Komen