BARISAN Nasional (BN) yakin untuk memenangi pertembungan pelbagai penjuru dalam pilihan raya negeri Melaka kerana rekod prestasinya yang cemerlang, kata Najib Razak hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata BN boleh menawarkan kerajaan negeri yang stabil dan berwibawa.
“Ya kami yakin (menang pertarungan pelbagai penjuru). Insya-Allah pengundi akan sedar kepentingan untuk mempunyai kestabilan dan berketerampilan.
“Mereka (kerajaan negeri) juga mesti mempunyai rekod prestasi yang baik. Jika anda mengambil kira semua faktor ini, ia adalah kekuatan kami,” katanya di Villa D Acqua di Melaka hari ini.
Ahli Parlimen Pekan dan bekas presiden Umno itu berada di Melaka untuk menyokong calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya negeri.
Penamaan calon untuk pilihan raya dibuka pada pukul 9 pagi tadi.
Kesemua 28 kerusi DUN di sini bakal berdepan pertembungan pelbagai penjuru dengan tiga pemain utama - BN, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang bertanding di semua kerusi. Mereka dijangka disertai oleh parti bebas dan beberapa parti kecil lain.
Najib juga berkata garis panduan baharu yang dikeluarkan memberi sedikit ruang untuk menyampaikan mesej kepada pengundi dan memperkenalkan calon mereka.
“Kami menghargai hakikat yang fleksibiliti diberikan akan menambah makna kepada pilihan raya untuk menyampaikan mesej adan memperkenalkan calon anda.
“BN telah menyiapkan jenteranya dan insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik.”
Mengenai keyakinan BN dengan pemilihan calon, Najib berkata tiada senarai 100% (calon) yang akan menggembirakan semua orang.
“Tetapi, dengan keadaan yang ada kami sudah melakukan tugas yang baik dalam meletakkan kemungkinan barisan terbaik (memilih calon).
“Kami berasa pada analisis terakhir, pengundi akan membuat pilihan yang tepat bagi kerajaan negeri yang boleh berkhidmat kepada rakyat.”

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata mereka bersedia untuk kempen dan akan melihat sama ada rakyat memberikan semula mandat kepada BN mentadbir negeri.
“Mari kita tunaikan kewajipan supaya kita boleh merampas semula Masjid Tanah dan memenangi kesemua lima kerusi.
“Inilah masanya untuk membuktikan kita boleh merampas kembali kerusi itu.
“Kita perlu bekerja keras untuk memastikan calon kita menang. Atur semua acara dengan betul dan berharap usaha kami membuahkan hasil.”
BN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN, dengan pertembungan pelbagai penjuru melibatkan Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan lain-lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 November untuk pengundian dan 16 November untuk pengundian awal.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Mereka adalah Idris Haron (Sg Udang-BN), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Ind) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu). – 8 November, 2021.
Komen