Majlis kahwin, cukur jambul cetus kluster baharu di Sabah


Penularan virus dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam majlis perkahwinan, kata Masidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2021.

MAJLIS perkahwinan dan cukur jambul dikenal pasti mencetus satu kluster baharu Covid-19 membabitkan jangkitan dalam komuniti di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan perkembangan harian Covid-19 itu berkata, kluster baharu berlaku di Kampung Karanaan dikesan selepas seorang lelaki tempatan yang juga kakitangan awam berumur 29 tahun didapati positif wabak itu.

“Penularan virus dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam majlis perkahwinan dan upacara cukur jambul yang turut dihadiri saudara mara dari luar daerah. Seramai 52 penduduk kampung dijangkiti setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Masidi berkata, kluster baharu di Ranau itu adalah satu peringatan penting kepada orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa.

“Lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara mulai esok dengan pelbagai sekatan ke atas majlis sosial dan aktiviti ekonomi akan dilonggarkan,” katanya.

“Kesannya ialah risiko jangkitan di tempat awam dan acara sosial akan semakin tinggi. Rakyat digesa tidak lalai mematuhi semua SOP. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab ‘frontliners’ (barisan hadapan) ke atas bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata, sebanyak 405 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 221,749 kes, dengan dua kes kematian dilaporkan masing-masing satu di Beaufort dan Kota Marudu.

Seramai 537 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital dan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah menjadikan jumlah kumulatif 210,551 pesakit sembuh, manakala 1,789 pesakit masih menerima rawatan, katanya. – Bernama, 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen