INDIVIDU yang tidak divaksinasi dan mahu status vaksin Covid-19 dinaik taraf boleh berbuat demikian dengan membayar RM1,600 di klinik tertentu, berdasarkan penemuan The Malaysian Insight.
Ia ditawarkan menerusi aplikasi Telegram kepada mereka yang masih belum menerima vaksin Covid-19 di mana aplikasi MySejahtera akan dikemas kini, jadi pergerakan mereka tidak akan tersekat untuk melakukan perjalanan dan masuk ke prmis.
Sebelum diterima masuk menyertai kumpulan itu, individu perlu menghantar gambar status MySejahtera dan hanya mereka yang belum divaksin saja akan diterima.
Kumpulan itu yang mempunyai 137 ahli pada masa ini, akan maklumkan klinik yang menyediakan perkhidmatan itu. Setiap klinik hanya ada 10 slot.
“Mereka yang mendapat temu janji pada Sabtu ini, sila jangan imbas MySejahtera ada dua hari sebelum temu janji di mana-mana tempat,” kata pengendali kumpulan itu awal minggu ini.
Ia dipercayai bagi mereka yang sudah menempah temu janji di sebuah klinik di Puncak Alam, Selangor.
Dalam satu lagi perkembangan, pengendali mendedahkan buat sementara waktu, perkhidmatan itu hanya ada di klinik tertentu di Johor Bahru.
“Sepuluh slot ada di JB. Yang lain tutup sementara. Keadaan kecoh di KL, Klang dan Seremban jadi pada masa ini kami tidak buka slot di tiga tempat ini,” katanya.
“Klinik lebih suka wang tunai bukan pindahan atas talian. Lokasi klinik akan diberi terus kepada mereka yang ada temu janji,” kata kumpulan itu.
Difahamkan di klinik berkenaan, individu terbabit tidak akan menerima suntikan Covid-19, tetpai hanya status vaksinasi mereka akan dinaik taraf di MySejahtera.
Bulan lalu, The Malaysian Insight mendedahkan satu lagi perkhidmatan hampir sama di mana individu perlu membayar RM3,000 untuk membolehkan aplikasi MySejahtera dinaik taraf dengan status sudah divaksin.
Perkhidmatan itu tidak membabitkan klinik tetapi bayaran dibuat terus kepada individu yang ada akses kepada aplikasi MySejahtera.
Status itu dijual individu yang mempunyai akses kepada sistem aplikasi MySejahtera dan urus niaga dibuat secara rahsia menerusi Telegram.
Seorang ahli perniagaan berpangkat “Datuk” yang tidak divaksin, memberitahu The Malaysian Insight beliau membayar RM3,000 kepada “seseorang di Kementerian Kesihatan” untuk mendapatkan status “fully vaccinated” di MySejahtera.
Pada Ogos, polis mula menyiasat penjualan sijil vaksinasi digital Covid-19 yang palsu.
Bulan lalu, tangkap layar satu hantaran di Telegram menawarkan sijil vaksinasi pada harga RM1,500, RM400 atau RM200, yang dikongsi secara meluas di media sosial
Kerajaan mewajibkan vaksinasi Covid-19 dengan hanya membenarkan mereka lengkap vaksin boleh makan di restoran, menetap di hotel, melakukan perjalanan rentas negeri dan ke luar negara tanpa perlu memohon kebenaran.
Sijil vaksinasi tulen
The Malaysian Insight turut bercakap secara persendirian kepada pengendali kumpulan terbabit, bertanya adakah perkhidmatan mereka itu satu penipuan.
Pengendali kumpulan itu menafikan tuduhan berkenaan, berkata tiada sesiapa yang mengadu mereka ditipu.
“Sijil ini tulen dan bole digunakan di mana-mana walaupun kami hanya beri status itu untuk vaksin Sinovac.
“Jika ini penipuan, orang dalam kumpulan tentu sudah mula mengadu,” katanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan sudah maklum berkenaan kewujudan kumpulan Telegram terbaru itu.
Setakat ini, seramai 22,409,335 individu atau 95.7% populasi dewasa di negara ini sudah lengkap vaksinasi Covid-19, kata Kementerian Kesihatan.
Berdasarkan kepada data portal CovidNow, 97.8% populasi dewasa atau 22,891,080 menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 7 November, 2021.
Komen