PERIKATAN Nasional (PN) belum menetapkan calon bagi ketua menteri setakat ini sekiranya parti gabungan itu berjaya membentuk kerajaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri berkenaan.
“Kita setakat ini belum lagi hendak umumkan, tunggu masa yang sesuai dan yang penting untuk mereka ini menghadapi penamaan calon… kita akan umumkan kemudian,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN dan penyerahan watikah di Shah Alam, Selangor hari ini.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan 28 calon bagi menghadapi PRN Melaka dengan menamakan Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri sekiranya menang pilihan raya berkenaan.
Ditanya mengenai sama ada PN turut mahu semua 28 calonnya menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mengelak lompat parti, Muhyiddin berkata, parti gabungan itu belum membuat rancangan mengenainya buat masa ini.
“Kita masih yakin semua calon kita ini cukup setia kepada apa yang diputuskan parti masing-masing. Saya yakin pimpinan parti yang ada tahu siapa mereka dan kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi selepas selesai pilihan raya ini, Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, BN mengumumkan semua calonnya bagi PRN Melaka menandatangani SD elak lompat parti dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang berpaling tadah selepas mendapat mandat daripada rakyat.
Ditanya mengenai keputusan BN untuk bergerak secara sendirian pada PRN itu, Muhyiddin akur dengan keputusan itu malah ia tidak memberi kesan terhadap perhubungan antara kedua-dua parti gabungan itu termasuk di peringkat persekutuan.
“Ia agak luar biasa, tetapi saya fikir ia dilakukan demi kepentingan negara untuk kestabilan, malah kerajaan sekarang misalnya sanggup menandatangani memorandum persefahaman dalam kedudukan mereka kini… dan saya rasa ia ok selagi menjaga kepentingan kerajaan persekutuan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – Bernama, 6 November, 2021.
Komen