PERTEMBUNGAN Umno dengan PAS dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh dijadikan petunjuk atau bayangan kerjasama politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, PAS masih terbuka untuk bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atas semangat penyatuan ummah, walaupun rundingan gagal untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.
“Ia tidak boleh dijadikan indikator kerana ada beberapa perancangan pada masa depan… kalau begini tak semestinya tidak begitu pada masa depan,” katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Kuala Terengganu.
Tuan Ibrahim menegaskan PAS kekal mempertahankan agenda penyatuan ummah, yang menjadi asas kerjasama politiknya dengan Umno melalui MN yang dimeterai pada September 2019.
Katanya, agenda itu jugalah yang menjadi asas pemilihan ‘Islam Menyatukan Ummah’ sebagai tema muktamar tahun ini.
“Sebenarnya penyatuan ummah lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengakui PAS “sedikit kecewa” dengan tindakan BN mengumumkan bertanding di semua 28 kerusi dalam PRN Melaka.
Beliau menyebut tindakan BN itu mendesak PN tiada pilihan selain terpaksa bertembung dengan mereka di semua kerusi.
“Sebenarnya usaha untuk pujuk memujuk ambil masa yang panjang bahkan pada awalnya usaha itu sangat positif tapi hujungnya Umno nak bertanding semua.
“Bagi kami rasa sedikit kecewa… usaha penyatuan itu gagal pada hujung tapi Melaka bukan medan,” katanya.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan Bersatu bertanding di 15 kerusi sementara PAS di 8 kerusi dan Gerakan di 5 kerusi.
Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan pula sebelum itu mengumumkan Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA di 7 kerusi dan MIC satu kerusi.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim juga hari ini mengumumkan senarai calon PKR dan Amanah yang masing-masing bertanding 11 dan 9 kerusi. Satu lagi komponen PH iaitu DAP mengumumkan senarai 8 calonnya semalam.
Ini menjadikan Umno dan Bersatu bertembung di 12 kerusi dengan tumpuan di Tanjong Bidara.
PN menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin sementara BN meletakkan Pengerusi Umno Melaka Ab Raof Yusoh manakala PH mencalonkan Setiausaha Cabang PKR Masjid Tanah Zainal Hassan.
PH juga menamakan dua bekas wakil rakyat Umno yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka.
Idris Haron bertanding di Asahan sementara Nor Azman Hassan cuba mempertahankan kerusinya di Pantai Kundor. – 6 November, 2021.
Komen