Saingan meriah banyak penjuru di Melaka


K. Kabilan

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini susulan DUN bubar ekoran empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

BERSATU dan Umno akan bertembung di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Kerusi yang jadi tumpuan tentunya Tanjung Bidara, membabitkan persaingan antara Ketua Wanita Bersatu dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh serta Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).

Mas Ermiyatie yang merupakan bekas ketua Puteri Umno menyertai Bersatu pada 2018. Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu disebut-sebut sebagai calon ketua menteri Melaka Perikatan Nasional (PN).

Umno, Bersatu dan PAS sebahagian daripada kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin selaku pengerusi PN petang tadi mengumumkan gabungan itu akan meletakkan calon di kesemua 28 kerusi DUN. Bersatu katanya bertanding di 15 kerusi sementara PAS di lapan kerusi dan Gerakan di lima kerusi.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan pula sebelum itu mengumumkan Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA di 7 kerusi dan MIC satu kerusi.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim juga hari ini mengumumkan senarai calon PKR dan Amanah yang masing-masing bertanding 11 dan sembilan kerusi. Satu lagi komponen PH iaitu DAP mengumumkan senarai lapan calonnya semalam.

Anwar turut mengumumkan dua bekas Adun Umno iaitu bekas ketua menteri Melaka Idris Haron dan Nor Azman Hassan akan bertanding atas tiket PH. Katanya, Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor, kerusi tradisi Amanah.

Turut mengumumkan akan meletakkan calon di Melaka adalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), yang membuat penampilan pertama kali dalam pilihan raya. Presiden Putra Ibrahim Ali pada sidang media berkata parti itu mempertaruhkan lima calon.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) petang tadi umum tidak akan bertanding pada PRN Melaka susulan pimpinan PH bertegas untuk mencalonkan Idris dan Nor Azman.

Selain Muda, parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad juga tidak akan bertanding. – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen