Jelaskan penyatuan ummah PAS-Umno-Bersatu, gesa perwakilan Pulau Pinang


Diyana Ibrahim Aminah Farid

Kesamaran hubungan penyatuan ummah tiga parti Melayu itu menyebabkan ahli dan penyokong di akar umbi keliru, kata PAS Pulau Pinang di Muktamar Tahunan ke-67 parti itu di Kuala Terengganu, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

PAS perlu menjelaskan kepada ahli akar umbi penyatuan ummah parti Islam itu dengan Umno dan Bersatu untuk mengelakkan sebarang kekeliruan menuju pilihan raya umum akan datang, gesa PAS Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Abdul Razib Abd Rahim berkata kesamaran hubungan penyatuan ummah tiga parti Melayu menyebabkan ahli dan penyokong mereka di akar umbi keliru.

Kekeliruan itu akan menjejaskan usaha PAS menyekat Pakatan Harapan terutamanya DAP terus mentadbir Pulau Pinang, katanya.

“Kami melalui perwakilan Pulau Pinang memohon pimpinan supaya memperjelaskan dengan lebih kukuh supaya ahli di bawah dapat pertahan permuafakatan dan penyatuan ummah yang sedang kita pamerkan dan sedang promosi kepada masyarakat,” katanya, berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berucap membahaskan ucapan dasar presiden, yang disampaikan oleh Abdul Hadi Awang pada sebelah pagi.

PAS dan Umno menjalin kerjasama rasmi melalui Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada September 2019. 

Selepas peralihan kerajaan di Putrajaya susulan percaturan politik Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020, PAS bersama Bersatu menubuhkan Perikatan Nasional (PN). Umno bagaimanapun tidak menyertai PN.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang penamaan calonnya ditetapkan Isnin ini, PAS bertanding bersama Bersatu atas tiket PN sementara Umno bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Abdul Razib mendakwa kerajaan DAP di Pulau Pinang cuba mengurangkan jumlah penduduk Melayu di negeri itu dengan membangunkan projek pembangunan berskala besar.

Beliau menyebut pembinaan ladang babi terbesar di kawasan Melayu di Tasek Gelugor, projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang, cadangan pembinaan terowong dan jambatan ketiga, serta lebuh raya dari Bagan Ajam ke Teluk Air Tawar.

“Semua ini usaha untuk halang kekuasaan dan kampung Melayu khusus di Seberang Perai Utara yang menjadi kerusi majoriti  Melayu dan umat Islam,” katanya, yang mendakwa pembangunan itu sebagai “perancangan DAP”.

“Maka menjadi tanggungjawab parti Melayu untuk bersama-sama menjalankan satu kajian dan melaksanakan satu tuntutan bersama  supaya kita mampu menentang apa jua perancangan mereka,” katanya. – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen