Syed Saddiq tak sangka Pakatan pilih pembelot Umno berbanding Muda


Alfian Z.M. Tahir

Syed Saddiq menganggap empat Adun itu berpaling tadah semata-mata kerana kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2021.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menyangka pemimpin Pakatan Harapan (PH) memilih calon yang melompat parti berbanding calon daripada Muda, yang juga sebahagian daripada pembangkang.

Bercakap kepada pemberita petang ini, Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau berharap dapat menyatukan pembangkang di bawah satu barisan bersatu padu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sejujurnya saya tidak sangka mereka memilih ‘katak’ berbanding kami,” kata Syed Saddiq.

“Saya mahu membentuk barisan pembangkang bersatu padu yang menjunjung nilai dan prinsip berbanding perkara lain.”

‘Katak’ yang dimaksudkan Syed Saddiq merujuk kepada mereka yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka bulan lalu.

Mereka adalah bekas Ketua Menteri Idris Haron (Sg Udang-BN), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas).

Hanya Norhizam tidak diterima bertanding di bawah PH selepas keluar dari DAP untuk menyokong Perikatan Nasional susulan Langkah Sheraton.

Idris diterima sebagai anggota PKR dan akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

DUN Melaka dibubar bulan lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Berikutan itu, keputusan dibuat untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 November bagi hari pencalonan manakala hari mengundi diadakan pada 20 November.

Syed Saddiq berkata, keempat-empat Adun itu tidak berpaling tadah untuk menyokong PH tetapi melakukannya semata-mata demi kuasa.

“Mereka memutuskan untuk menyokong PH selepas menyedari mereka tidak dijanjikan untuk mendapat kuasa.”

Terdahulu, Syed Saddiq berkata, Muda tidak akan bertanding pada PRN Melaka sebaliknya fokus terhadap PRU.

Seminggu lalu, Syed Saddiq yakin Muda mampu berunding dengan PH bagi pembahagian kerusi di Melaka. – 6 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen