PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) gagal mencapai kata sepakat, kata presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ia berikutan pimpinan PH bertegas untuk mencalonkan dua bekas Adun Umno yang berpaling tadah sehingga kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali tumbang, tambahnya.
Syed Saddiq pada 27 Oktober lalu berkata Muda bakal bertanding pada PRN Melaka atas tiket PH namun rundingan pengangihan kerusi belum dimuktamadkan.
“Ada beberapa signal positif yang menunjukkan boleh ada pembangkang yang berpadu.
“Malangnya pimpinan PH mengambil pendirian untuk memilih dan mencalonkan katak-katak politik yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Melaka dan PRN di tengah pandemik.
“Muda menolak politik ‘katak’, tidak bermaruah, tidak berprinsip ini yang akhirnya menyebabkan rakyat susah.
“Dengan itu Muda telah membuat keputusan untuk tidak bersama dengan PH dalam PRN Melaka kerana mengangkat politik yang tidak bermaruah, tidak berprinsip, mengangkat katak-katak politik ini,” katanya pada sidang media di perkarangan Parlimen hari ini.
Tumpuan Muda kini katanya beralih kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 serta memperkasakan politik khidmat dan politik dasar.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali.
Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – 6 November, 2021.
Komen