LIMA lagi negeri beralih Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin, kata Hishammuddin Hussein.
Negeri itu ialah Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah, kata Menteri Kanan Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini.
Kini cuma tinggal Kelantan dan Sarawak sahaja berada dalam Fasa 3 PPN.
Sementara itu, anak kapal di bawah pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang dibenarkan mengambil suntikan vaksin semasa singgah di Pelabuhan Klang.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia,” kata Hishammuddin.
Katanya urusan vaksinasi akan dibuat di atas kapal bagi mengelakkan pergerakan anak-anak kapal ke klinik atau fasiliti perubatan.
“Lembaga Pelabuhan Klang telah diminta mengemukakan keperluan maklumat lanjut seperti penganjur, bilangan anak kapal yang terlibat dan lain-lain yang berkaitan bagi program vaksinasi untuk anak-anak kapal di Pelabuhan Klang,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Hishammuddin berkata semua individu yang diberi vaksin sepenuhnya termasuk remaja kini dibenarkan masuk ke stadium dan semua kemudahan sukan berkuatkuasa Isnin.
“Kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang belum/ tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium termasuklah semua fasiliti sukan,” katanya.
Tambah Hishammuddin, aktiviti makan dan minum di dalam stadium masih dilarang. – 5 November, 2021.
Komen