Wartawan persoal China tangani Covid kini hampir mati dipenjara


Zhang Zhan, 38, bekas peguam, pergi ke Wuhan pada Februari 2020 untuk melaporkan kekacauan di tempat bermulanya pandemik itu, mempersoalkan cara pihak berkuasa mengendali wabak itu melalui video yang dirakam menggunakan telefonnya. – Gambar EPA, 5 November, 2021.

WARTAWAN tempatan yang dipenjarakan kerana membuat liputan mengenai cara China tangani Covid di Wuhan hampir mati selepas membuat mogok lapar, kata keluarganya, mengundang seruan kumpulan hak asasi yang gesa beliau dibebaskan segera.

Zhang Zhan, 38, bekas peguam, pergi ke Wuhan pada Februari 2020 untuk melaporkan kekacauan di tempat bermulanya pandemik itu, mempersoalkan cara pihak berkuasa mengendali wabak itu melalui video yang dirakam menggunakan telefonnya.

Beliau ditangkap pada Mei 2020 dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada Disember kerana “memilih untuk bertengkar dan mencetuskan provokasi”—tuduhan yang biasa digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat.

Beliau kini mengalami kekurangan berat badan yang kronik dan “mungkin tidak dapat hidup lama”, tulis abangnya Zhang Ju minggu lalu di Twitter, yang disahkan oleh orang yang rapat dengan perkara itu.

Zhang membuat mogok lapar dan diberi makan secara paksa melalui tiub hidung, menurut pasukan peguamnya kepada AFP, yang tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan semasanya.

“Beliau mungkin tidak dapat bertahan pada musim sejuk yang akan datang,” tulis Zhang Ju, menambah yang beliau telah mengutus surat kepada kakaknya, menggesa supaya “menjaga dirinya”.

“Dalam hatinya, nampaknya cuma ada Tuhan dan keimanannya, tak peduli apa-apa lagi.”

Ciapan Zhang Ju mencetuskan gesaan baharu pembebasan kakaknya, dengan Amnesty International menggesa kerajaan komunis China pada Khamis “membebaskannya dengan segera supaya boleh hentikan mogok laparnya dan menerima rawatan perubatan yang sesuai”.

Wakil Amnesty Gwen Lee berkata penahanan Zhang adalah “serangan yang memalukan terhadap hak asasi manusia”.

Seseorang yang rapat dengan wartawan warganegara itu, yang enggan namanya didedahkan, memberitahu AFP keluarga itu telah meminta untuk bertemu Zhang lebih tiga minggu lalu di penjara wanita Shanghai tempat beliau dipenjarakan namun sehingga kini masih belum ada jawapan.

AFP tidak dapat menghubungi Zhang Ju manakala ibu Zhang enggan mengulas.

Penjara Shanghai juga tidak memberikan sebarang respons kepada AFP. – AFP, 5 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen