MALAYSIA merekodkan 64 kematian baharu Covid-19 setakat tengah malam tadi, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kesemua kematian adalah kes tertunggak yang berlaku sebelum 3 November.
Negara kini merekodkan sejumlah 29,091 kematian sejak penularan wabak berkenaan.
Menurut data mentah dari GitHub KKM, 16 orang diklasifikasikan sebagai meninggal dunia di luar hospital.
Angka kematian harian ialah jumlah kes yang dilaporkan pada hari berkenaan ditambah kes yang baru disahkan oleh KKM disebabkan oleh Covid-19 selepas siasatan dibuat.
Sarawak mencatatkan jumlah kematian tertinggi untuk hari kelima berturut-turut iaitu 19 dengan kadar kematian semasa pada 2%.
Negeri dan wilayah persekutuan lain yang melaporkan kematian baharu semalam ialah Johor (8), Kelantan (7), Perak dan Selangor (6), Pahang (4), Kedah, Sabah, dan Terengganu (3), Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (2).
Tiada kematian direkodkan di Melaka, Perlis, Labuan dan Putrajaya.
Purata negara bagi setiap sejuta penduduk ialah 21 kematian dengan Sarawak mencatatkan kes tertinggi dengan 54 kematian bagi setiap sejuta orang. – 5 November, 2021.

Komen