KKM lapor 46 kematian baharu Covid-19


Aminah Farid

MALAYSIA mencatatkan 46 kematian baharu Covid-19 setakat tengah malam, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kesemua 46 kematian yang dilaporkan adalah kes tertunggak kerana semua kematian berlaku sebelum 2 November.

Malaysia merekodkan sejumlah 29,091 kematian sejak wabak itu bermula.

Menurut data mentah dari GitHub KKM, 15 pesakit diklasifikasikan sebagai meninggal dunia di luar hospital.

Angka kematian harian ialah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari berkenaan ditambah kes yang baru disahkan oleh KKM disebabkan oleh Covid-19 selepas siasatan.

Sarawak terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi selama empat hari berturut-turut iaitu 10 diikuti oleh Kelantan (9) dan Johor (8).

Negeri dan wilayah persekutuan lain yang melaporkan kematian baharu semalam ialah Sabah (4), Kedah dan Perlis (masing-masing 3), Melaka dan Pulau Pinang (masing-masing 2) dan Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur (masing-masing 1).

Tiada kematian direkodkan di Pahang, Labuan dan Putrajaya.

Purata negara bagi setiap penduduk sejuta ialah 21 kematian dengan Sarawak merekodkan jumlah tertinggi dengan 55 kematian bagi setiap sejuta orang. – 4 November, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen