LEBIH 1,000 orang berhimpun di tengah Kiev semalam bagi membantah vaksinasi koronavirus di Ukraine dan sekatan baharu yang dikenakan bagi membendung lonjakan jangkitan.
Ukraine baru-baru ini mencatat rekod kes harian dan kematian akibat Covid-19, manakala hanya 20% daripada populasi sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Parlimen di ibu negara Kiev sebelum menyekat lalu lintas di tengah-tengah bandar.
Dalam hujan, mereka mengangkat poster bertulis “Tidak untuk vaksinasi”, “Tidak untuk ekspremin perubatan, lindungi anak-anak kita”.
Ada yang memegang poster yang menggambarkan bayi menangis dikelilingi picagari.
Terdapat kehadiran polis yang ramai tetapi tiada pertempuran.
Negara bekas Soviet itu melaporkan 720 kematian koronavirus baharu semalam, jumlah ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dan Rusia.
Kes harian baharu mencecah rekod pandemik sebanyak 26,870 minggu lepas dan lebih 23,000 semalam.
Selepas pada mulanya bergelut untuk mendapatkan bekalan vaksin, Ukraine kini mempunyai tiga suntikan vaksin tersedia iaitu AstraZeneca, Pfizer dan CoronaVac buatan China tetapi sedang bergelut untuk meyakinkan rakyat Ukraine untuk menerima suntikan vaksin.
Sekatan baharu yang memerlukan vaksinasi untuk memasuki tempat awam di kawasan yang terjejas teruk menyaksikan orang ramai berpusu-pusu ke pusat pemberian vaksin. Ketika ini lebih 250,000 orang mendapat vaksin setiap hari.
Ukraine sudah merekodkan lebih 2.9 juta kes koronavirus dan 69,000 kematian. – AFP, 4 November, 2021.
Komen