Muda masih bincang kerusi PRN Melaka dengan Pakatan, kata pemimpin parti


Aminah Farid

Naib Presiden Muda Dr Thanussha Francis Xavier berkata parti itu sedang melakukan rundingan walaupun PH tidak menamakan Muda ketika mengumumkan jumlah kerusi bagi partinya sendiri baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2021.

BERBAKI lima hari sebelum penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) bagi pengagihan kerusi.

Naib Presiden Muda Dr Thanussha Francis Xavier memberitahu The Malaysian Insight, perbincangan sedang dilakukan walaupun PH tidak menamakan Muda ketika mengumumkan jumlah kerusi bagi partinya sendiri baru-baru ini.

“Muda dan PH sedang berbincang kerusi untuk Melaka sebagai blok pembangkang.

“Muda percaya dengan pembangkang yang bersatu padu, sebab itu penting untuk kita berbincang dengan sekutu kita bagi menghadapi pilihan raya. Tanpa perbincangan, ia hanya akan mengakibatkan perpecahan undi kepada pembangkang,” katanya.

PH minggu lepas mengumumkan tiga komponennya akan bertanding di semua 28 kerusi dalam PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November.

Sebanyak 11 kerusi diperuntukkan kepada PKR, sembilan kepada Amanah dan lapan kepada DAP.

Walaupun tidak disebut peruntukan kerusi untuk Muda, Thanussha berkata ini kerana PH perlu meletakkan kerusi untuk parti rasmi gabungan itu terlebih dahulu.

Muda, yang ditubuhkan oleh bekas ketua Pemuda Bersatu dan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman selepas kejatuhan PH tahun lepas masih belum berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Parti itu juga tidak menyertai PH secara rasmi tetapi berada di blok pembangkang di Parlimen.

Menteri Dalam Negeri menolak permohonan Muda untuk didaftarkan sebagai parti politik secara rasmi dan parti itu mencabar keputusan berkenaan di mana permohonan mereka akan didengar di mahkamah bulan depan.

Presiden Muda Syed Saddiq mengumumkan pada 27 Oktober bahawa parti itu berhasrat bertanding dalam PRN Melaka.

Beliau berkata Muda akan meletakkan calon muda yang menyokong politik berbilang kaum dan sederhana, politik berasaskan dasar dan politik berorientasikan perkhidmatan.

Thanussha, ketika ditanya mengenai pemilihan calon berkata, disebabkan peruntukan kerusi dengan PH masih belum muktamad, Muda tidak dapat memilih calon mereka.

Ada spekulasi calon Muda perlu bertanding di atas tiket PH memandangkan parti mereka tidak berdaftar tetapi Thanussha berkata “semuanya masih dalam perbincangan”.

PH bersetuju untuk menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Melaka dan bukannya parti masing-masing.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November dengan penamaan calon ditetapkan pada 8 November.

Kerajaan negeri Melaka tumbang pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Yang di-Pertua Negeri Melaka kemudiannya membubarkan DUN walaupun usaha membentuk kerajaan baharu melalui perbincangan bagi mengumpulkan sokongan majoriti untuk ketua menteri baharu. – 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen