Kenapa Bentong nak undi Liow yang membisu tentang 1MDB


Gan Pei Ling

Setiausaha Publisiti Nasional DAP Tony Pua menerangkan tentang skandal 1MDB kepada penduduk Bentong pada program ceramah Pakatan Harapan, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Januari, 2018.

WAKIL rakyat DAP Tony Pua menggesa pengundi Bentong supaya meninggalkan ahli Parlimen penyandang mereka yang juga Presiden MCA Liow Tiong Lai kerana gagal memaksa Perdana Menteri Najib Razak menjawab berhubung skandal 1MDB.

“Seluruh dunia tahu tentang 1Malaysia Development Bhd tetapi Liow tak tahu.

“Adakah rakyat lantik dia untuk dia jadi ‘yes-man’? Hanya untuk bersalam dengan orang di tepi jalan dan beri mereka angpau sementara berbilion duit rakyat dicuri?

“Kenapa kita perlukan menteri seperti ini?,” soal Pua pada program ceramah Pakatan Harapan (PH) yang kali pertama diadakan di Bentong, malam tadi.

Liow ialah menteri pengangkutan.

Pua yang juga setiausaha publisiti nasional DAP dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata AS$250 juta (RM1.1 bilion) dikatakan diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara untuk membeli kapal layar mewah, sedangkan wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk membolehkan lebuh raya Karak bebas tol.

“Jika PH menang pilihan raya ini, kami boleh jual kapal layar itu dan mansuhkan tol lebuh raya Karak. Anda mahu tak?”

Pua antara pemimpin DAP yang memulakan kempen pembangkang untuk menyingkirkan Liow di Bentong semalam.

Khalayak yang datang tekun mendengar pembentangannya tentang bagaimana AS$681 juta dari 1MDB akhirnya berada dalam akaun Najib dan wang itu digunakan untuk membeli kapal layar mewah dan lukisan.

Liow berjaya mempertahankan kerusi Bentong dengan majoriti tipis 379 undi pada 2013.

Terdapat empat kerusi DUN di Parlimen Bentong, kerusi campuran dengan 45% pengundi Melayu, Cina (44%) dan India (9%).

DAP menang tiga kerusi DUN sementara Umno kekal di Pelangai pada PRU13.

Pelangai ialah kerusi Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob, yang menang kali pertama di situ pada 1986. – 29 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • DAP terang2 tipu rakyat mengenai projek terowong dasar laut.. Tony pua pula buat2 tak tahu Lim Guan Eng dah beli rumah banglo di bawah harga pasaran.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan