PUTRAJAYA mahu mengemukakan empat cadangan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak kepada asal seperti semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
Rang undang-undang (RUU) pindaan yang diberi kepada ahli Parlimen pagi ini menunjukkan pindaan itu melibatkan Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6).
Pindaan ke atas Perkara 1(2), yang pertama kali dicadangkan pentadbiran Pakatan Harapan pada 2019, akan mentakrifkan semula Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam Persekutuan Malaysia.
Pada masa ini, Sabah dan Sarawak dianggap sebagai negeri, sama seperti negeri di Semenanjung Malaysia atau pernah dikenali sebagai Malaya.
RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan ini disenaraikan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Maksud Hari Malaysia
Pindaan Perlembagaan Persekutuan ini juga mahu memberi takrifan kepada Hari Malaysia, yang disambut pada 16 September setiap tahun sebagai cuti umum sejak 2010.
Takrifan itu, yang menyebut Hari Malaysia bermakna “16 September 1963”, dimasukkan pada Perkara 160(2).
Tarikh pembentukan Malaysia sebelum ini tidak pernah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
RUU yang dikemukakan ini juga mahu meminda maksud “Persekutuan”, juga di bawah Perkara 160(2).
Pindaan ini ringkasnya menjelaskan Persekutuan Malaysia adalah gabungan Malaya yang merdeka pada 1957 dengan Sabah, Sarawak dan Singapura melalui Perjanjian Malaysia 1963, dan perjanjian pemisahan Singapura pada 1965.
Ini secara langsung memasukkan perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 ke dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan keempat pula menyentuh kedudukan istimewa Bumiputera Sarawak dengan mentakrifkan ” bumiputera” di wilayah itu sebagai warganegara dan kaum yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Sarawak. – 3 November, 2021.
Komen