AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam semalam bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) Regulasi Lompat Parti dan Akauntabiliti Politik yang akan dikenali sebagai RUU Hibrid.
Azalina dalam kenyataan berkata beliau mencadangkan supaya RUU Hibrid dilaksanakan di Melaka kerana yakin ia boleh menjadi pemangkin kestabilan politik di negeri itu dengan menghalang wakil rakyat melompat parti sekaligus memberi hak bersuara kepada pengundi.
RUU Hibrid mempunyai dua matlamat iaitu memecat wakil rakyat yang lompat parti; dan membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula untuk pengundi memilih wakil rakyat baharu.
“Ribuan terima kasih kepada TYT Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam kerana meluangkan sedikit masa untuk perbincangan RUU Hibrid.
“Saya juga telah turut menawarkan khidmat saya dan juga beberapa pasukan yang terlibat jika diperlukan untuk menggubal enakmen ini diperingkat negeri Melaka,” katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali.
Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Suruhanjaya Pilihan Raya PRN Melaka diadakan pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.
Azalina dalam pada itu mengingatkan pengundi Melaka mempunyai kuasa dan hak untuk menentukan politik berhemah di Malaysia. – 3 November, 2021.
Komen