Dr Wan Azizah pertahan rekod Lim di Pulau Pinang


Yasmin Ramlan

PRESIDEN PKR Dr Wan Azizah Ismail mempertahankan DAP, rakan kongsinya dalam Pakatan Harapan (PH) daripada tuduhan mengatakan parti itu anti Islam, dalam ucapan dasarnya di kongres PKR, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata PKR membuktikan prestasi DAP jauh lebih baik berbanding Umno terutama apabila DAP membelanjakan hampir setengah bilion untuk pembangunan Islam di Pulau Pinang sejak pentadbirannya.

Katanya, Ketua Menteri Lim Guan Eng membelanjakan RM457 juta dari 2008 sehingga 2017 untuk pembangunan hal ehwal Islam, institusi masjid dan sekolah.

“Manakala dalam tempoh yang sama, Barisan Nasional (BN) hanya peruntukan RM12 juta setahun.

“Hakikatnya Umno-BN buntu menghadapi Guan Eng.

“Mereka terpaksa meniup sentimen perkauman. Umno menuduh Guan Eng anti Melayu, MCA dan Gerakan pula menuduh Guan Eng terlampau membantu agama Islam,” katanya dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Shah Alam hari ini.

Dr Wan Azizah berkata beliau yakin PH mampu melakukan dengan lebih baik dalam tempoh sembilan tahun di Selangor dan Pulau Pinang iaitu kerajaan pentadbiran yang dipimpin oleh PKR, berbanding 50 tahun pentadbiran BN di peringkat persekutuan. – 21 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen