JANGKITAN baharu Covid-19 di Malaysia hari ini merekodkan sedikit peningkatan dengan 5,071 kes dilaporkan setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sejak dua hari lepas, negara mencatat kes jangkitan bawah paras 5,000 iaitu 4,626 kes semalam dan 4,979 kes pada Ahad.
Sehingga kini, lebih 2.48 juta jangkitan Covid telah dilaporkan di Malaysia.
Pecahan kes mengikut negeri akan dikemas kini di laman web CovidNow selepas tengah malam.
Sementara itu,Dr Noor Hisham berkata kadar jangkitan negara dalam tempoh 24 jam lepas direkodkan pada 0.96.
Awal hari ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan 24.5 juta orang, atau 75 peratus populasi, telah mendapat vaksinasi Covid-19 mereka setakat tengah malam semalam.
Menurut laman web CovidNow, 108,031 suntikan telah diberikan semalam, dengan 9,216 orang menerima dos pertama manakala 55,354 menerima dos kedua mereka.
Kementerian juga menyatakan 43,461 suntikan penggalak telah diberikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 351,114 suntikan.
Setakat ini, 2.13 juta remaja, berumur 12 hingga 17 tahun, telah diberi vaksin sepenuhnya. – 2 November, 2021.
Komen