Belanjawan besar, hutang pun besar, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan akan semak semula Bajet 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.

BELANJAWAN 2022 yang besar bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, kata Dr Mahathir Mohamad, kerana ia melibatkan hutang.

Bekas perdana menteri berkata cadangan perbelanjaan kerajaan untuk tahun hadapan besar kerana hutangnya juga besar.

“Saya harap kerajaan akan semak semula bajet 2022. 

“Kita tidak perlu bangga dengan mengemuka belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara. Lagipun ia menjadi besar kerana berhutang besar,” katanya membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata daripada RM332 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2022, unjuran pendapatan kerajaan hanyalah berjumlah RM234 bilion.

“Kemungkinan besar ialah kerajaan akan hutang, dari RM332 bilion peruntukan RM98 bilion akan hutang.

“Kita sedang menanggung hutang lebih dari RM1 trilion, dengan hutang baru jumlah akan meningkat lagi, kenaikan siling kepada 65% tidak akan mengurang hutang yang perlu dibayar sehingga puluhan tahun.

“Yang turun hanya peratusan dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jumlah hutang tidak kurang,” kata Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata, dengan membina hutang yang besar kerajaan akan datang perlu memikul beban tersebut.

“Bahawa yang akan pikul beban bayaran balik adalah kerajaan yang akan datang tidak bermakna sikap tidak mempeduli beban kerajaan yang menyusul bukan tanggungjawab kerajaan hari ini.

“Sebenarnya kerajaan sekarang perlu berhati-hati tidak membebankan kerajaan-kerajaan yang akan datang,” katanya.

Tambah pengerusi Pejuang itu, generasi akan datang juga terpaksa memikul beban hutang tersebut.

“Ya, saya sedar wang yang banyak diperlukan bagi mengatasi krisis yang dihadapi oleh negara. 

“Tetapi di masa yang sama kerajaan perlu berhati-hati supaya perbelanjaan kerajaan dikurangkan dan beban hutang tidak dihempas ke atas belakang generasi akan datang,” katanya. – 2 November, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen