Perladangan sektor pertama dibenarkan ambil pekerja asing, kata menteri


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Perladangan sektor pertama dibenarkan menerima kemasukan pekerja asing, seramai 32,000 kemasukan pengecualian khas, khususnya kelapa sawit, kata menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.

PERLADANGAN adalah sektor pertama yang diberikan pengecualian khas untuk menerima kemasukan pekerja asing dari luar negara, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Hamzah berkata bagi sektor itu saja seramai 32,000 pekerja asing diberikan kebenaran masuk dengan pengkhususan untuk sektor ladang kelapa sawit.

“Jawatankuasa khas pengurusan pandemik Covid-19 yang dipengerusikan perdana menteri bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi semua sektor dibenarkan.

“Perladangan sektor pertama dibenarkan menerima kemasukan pekerja asing, seramai 32,000 kemasukan pengecualian khas, khususnya kelapa sawit,” kata Hamzah.

Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau-PH) yang meminta kementeriannya menyatakan sektor diberikan kebenaran menerima pekerja asing, selain bilangan pekerja asing dibenarkan setiap sektor.

“SOP sama akan diberikan kepada semua sektor ditetapkan mengikut kes demi kes mesyurat jawatankuasa bersama KDN dan Kementerian Sumber Manusia,” kata Hamzah.

Tambahnya, Putrajaya sedang meneliti bilangan pekerja asing yang diperlukan untuk setiap sektor dibenarkan.

“Kementerian dan agensi berkaitan sedang laksana analisis terperinci bagi memastikan kerajaan ada hala tuju strategik dalam mencapai keseimbangan ekonomi dan kesihatan ketika negara masih berusaha memerangi Covid-19,” katanya.

Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu berkata dalam program rekalibrasi pekerja asing yang bermula tahun lepas sehingga 31 Disember ini, sebanyak 212,926 permohonan pekerja asing diterima, dengan 11,751 daripada majikan.

Beliau berkata seramai 65,484 pekerja asing memohon bagi sektor perkilangan, 122,075 permohonan sektor pembinaan, 7,176 perladangan dan 12,003 sektor pertanian.

“Melalui program ini ada rekalibrasi pulang Pati yang mencecah 147,705 dan kutipan kompaun untuk balik berjumlah RM71,368,700,” katanya. – 2 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen