LIMA juta orang meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh dunia sejak wabak itu muncul dari China hamoir dua tahun lalu, menurut data rasmi yang diperoleh AFP.
Namun kadar kematian harian semakin menurun hasil daripada kempen vaksinasi yang dijalankan seluruh dunia yang menyaksikan jutaan penduduk disuntik.
Jumlah kematian harian di seluruh dunia menyaksikan penurunan bawah 8,000 buat pertama kalinya pada awal Oktober lalu.
“Jumlah keseluruhan kes jangkitan dan kematian Covid-19 meningkat buat pertama kali dalam tempoh dua bulan, berikutan lonjakan epidemik di Eropah,” kata Pengerusi Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang media.
Dalam 52 negara dan wilayah yang membentuk wilayah Eropah WHO, sebahagian besar kes kematian adalah dari timur.
Rusia, antara negara yang masih ragu dengan vaksin, menyaksikan jumlah kes jangkitan dan kematian mencapai rekod baharu dengan purata kematian harian melebihi 1,000 sejak 20 Oktober.
Dan menurut pihak berkuasa sendiri, angka ini sebahagian besarnya dipandang remeh.
Data kes kematian harian kerajaan negara itu menunjukkan terdapat 239,693 kes kematian setakat 1 November.
Bagaimanapun, agensi perangkaan Rosstat, yang mempunyai definisi lebih luas berhubung kematian Covid berkata pada penghujung September jumlah kes kematian hampir 450,000.
Selepas Rusia, Ukraine dan Romania merupakan dua negara di Eropah yang merekodkan kes kematian tertinggi, dengan purata masing-masing 546 dan 442 kematian sehari, sejak tujuh hari lalu.– AFP, 2 November, 2021.
Komen