KETIKA Deepavali tinggal beberapa hari sahaja lagi, peniaga merungut kerana pendapatan mereka menerusi jualan bermusim tidak begitu hebat.
Peniaga di Little India Brickfields di Kuala Lumpur - tempat tumpuan tradisional untuk membeli-belah Deepavali - berkata mereka tidak dapat menampung kos setakat ini, dengan orang ramai menyaksikan penurunan hampir 70% berbanding sebelum Covid-19.
Peniaga ini kembali meneruskan jualan semula tahun ini selepas tidak hadir selama setahun susulan pandemik Covid-19. Deepavali jatuh pada hari Khamis, 4 November.
Selain kebimbangan dijangkiti Covid-19, cuaca juga menjadi faktor menyaksikan jualan lembap, kata mereka.
Thilagavathi Suppiah, 38, yang mengusahakan inai berkata, perniagaannya merosot kira-kira 70% tahun ini.
“Walaupun banyak sektor dibuka semula, orang ramai masih takut untuk keluar memandangkan kes Covid-19 masih mencecah empat angka.
“Disebabkan itu tidak semua ahli keluarga keluar membeli-belah. Ini menyebabkan pelanggan saya semakin berkurangan,” katanya.
Dia juga berkata, cuaca hujan menghalang orang ramai untuk datang membeli.
Prema Latha, 30, yang menjual barangan sembahyang berkata, tahun ini orang ramai pastinya kurang berbanding dua tahun lalu.
“Salah satu sebab utama mengapa orang tidak ramai adalah kerana hujan.
“Sekarang ini hujan turun hampir setiap hari,” katanya.
Athi Parameswary, 34, yang menjual pakaian tradisional bersama ibunya berkata, jualannya agak baik walaupun cuaca buruk tetapi dia masih belum dapat menampung kos.
“Saya masih belum menampung kos tetapi saya pasti akan dapat melakukannya dalam beberapa hari akan datang,” katanya penuh harapan. – 1 November, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen