MALAYSIA terus merekodkan penurunan kes jangkitan baharu Covid-19 selepas mencatatkan 4,626 kes setakat tengah hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan hari ini berkata kes baharu menurun berbanding 4,979 semalam, yang merupakan terendah sejak 4 Mei.
Ini merupakan hari kedua berturut-turut negara merekodkan kes jangkitan bawah 5,000.
Setakat ini negara merekodkan lebih 2.47 juta jangkitan Covid-19.
Pecahan kes mengikuit negeri akan dikemaskini di laman CovidNow selepas tengah malam.
Sementara itu kadar jangkitan di negara ini 0.95 sejak tujuh hari lalu.
Kemasukan ke hospital turut merekodkan penurunan sebanyak 9%. Purata tujuh hari kemasukan pesakit di hospital adalah 1,273 dengan penggunaan katil 66%.
Sebanyak 22,361,734 individu atau 95.5% populasi dewasa turut melengkapkan vaksinasi.
Menurut data Kementerian Kesihatan di laman CovidNow, 22,872,309 individu atau 97.7% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara itu 63,489 dos vaksin diberikan hari ini melibatkan golongan dewasa dan remaja, menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 50,076,170. – 1 November, 2021.
Komen