Peruntukan di kawasan pembangkang tak sampai, Warisan tuntut siasat dakwaan itu


Jason Santos

Orang muda Penampang sedang mengetuk gong (barisan belakang) dan kulintang. Hari ini, Adun Moyog di bawah Parlimen Penampang, Terrence Siambun "mengetuk gong" menyeru supaya pengerusi BN Penampang disiasat kerana mendakwa kononnya dana tahunan Parlimen dan DUN di Penampang dibekukan kerana kawasan itu diwakili pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Jason Santos, 28 Januari, 2018.

AHLI Dewan Undangan (Adun) pembangkang Sabah hari ini menuntut supaya pihak berkuasa menyiasat dakwaan pemimpin Barisan Nasional (BN) kononnya dana tahunan ahli Parlimen Penampang dan Adunnya dibekukan kerana kawasan itu diwakili pembangkang.

Adun Moyog, Terrence Siambun berkata pengerusi BN Penampang Donald Mojuntin sudah empat tahun membangkitkan isu peruntukan itu.

Beliau yang juga bendahari Parti Warisan Sabah berkata, Mojuntin berkeras dengan kenyataannya itu walaupun berlawanan dengan pengumuman oleh Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Radin Malleh.

Ketika sidang Dewan Undangan Negeri tahun lalu,  Radin mengumumkan yang dana untuk kawasan diwakili pembangkang itu disalurkan melalui pejabat wakil daerah.

“Tapi, kami dituduh (oleh Mojuntin) sebab menerima dan menahan peruntukan itu, walaupun kami tak pernah lihat atau terima pun peruntukan itu sejak BN membentuk kerajaan pada pilihan raya 2013.

“Tuduhan itu dibuat secara berterusan selama beberapa tahun sampailah Rabu lepas, bila Mojuntin akhirnya membuktikan yang ahli Parlimen Penampang dan Adun Kapayan dan Moyog tak pernah terima peruntukan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Siambun berkata pihak berkuasa patut menyiasat Mojuntin jika betul yang dana untuk kawasan diwakili pembangkang di Penampang itu tidak diterima.

Tambahnya lagi, sejak 2013, jumlah dana yang sepatutnya diterima sehingga kini mencecah RM44 juta.

Dana tahunan untuk Adun di Sabah adalah RM1 juta, manakala dana untuk ahli Parlimen RM10 juta, yang mana wang rakyat itu patut digunakan untuk memperbaiki jambatan, jalan raya, dewan masyarakat dan pelbagai kemudahan awam lain.

“Tak perlu untuk cari kebenaran dan cari mana pergi, dan siapa yang dapat peruntukan itu.

“Kami nak tahu sama ada dakwaan Mojuntin itu betul atau dibuat untuk menipu penduduk Penampang? soalnya. – 28 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen